Rakan Beng Hock dakwa DAP bertanggungjawab
KUALA LUMPUR 28 Julai - Sekumpulan rakan mendiang Teoh Beng Hock mendakwa DAP turut bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah itu.
Jurucakap kumpulan itu, Allan Liew Sin Kim berkata, Beng Hock sebagai ahli DAP terbeban untuk menguruskan dana bagi lebih 200 projek berkaitan parti itu di Selangor yang jelas melampaui kemampuannya sebagai seorang setiausaha politik.
Malah katanya, tiada seorang pun pemimpin DAP yang hadir untuk membantah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Beng Hock yang berlanjutan selama 12 jam sebelum mendiang ditemui mati.
"Bolehkah setiausaha politik uruskan 200 projek dan aliran keluar masuk wang? Sebagai manusia biasa, sudah tentu mendiang tidak dapat mengatasi tekanan itu yang dipercayai menjadi punca kematiannya.
"Beng Hock sepatutnya tidak terlibat menguruskan projek itu dan Ean Yong tidak patut mengarahkan mendiang untuk menguruskan perkara yang melampaui kemampuannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri lima lagi rakan Beng Hock yang berbaju kuning dengan mendakwa pemakaian baju itu sebagai usaha membersihkan nama mendiang.
Allan pada masa sama mendesak Ean Yong supaya memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga mendiang dan orang ramai kerana Exco Selangor itu telah membabitkan Beng Hock untuk menguruskan dana bagi projek di tiga kawasan di negeri itu.
Katanya, mereka percaya Beng Hock tidak bersalah dalam pengurusan peruntukan projek oleh DAP kerana mendiang hanya menjadi saksi bagi siasatan yang dilakukan oleh SPRM.
"Di mana Ean Yong ketika Beng Hock disiasat SPRM? Beliau seharusnya berusaha menyelamatkan mendiang dengan melakukan protes kerana mungkin dengan usaha itu sekurang-kurangnya mendiang masih hidup.
"Kami amat sedih kerana hanya selepas Beng Hock meninggal dunia, mereka (DAP) datang pasang lilin putih depan pejabat SPRM. Justeru, kita mahu Ean Yong beri penjelasan kepada masyarakat kerana tidak membantu mendiang pada ketika itu," katanya.
Allan juga berharap keluarga Beng Hock boleh menerima usaha mereka dan memikirkan secara di luar kotak punca kematian mendiang.
Katanya, kemunculan mereka selepas dua tahun kematian mendiang adalah kerana berasakan bukan masa yang sesuai bagi mereka membuat kenyataan sewaktu perbicaraan kes sedang berlangsung di mahkamah.
0 Responses to DAPIG Jelas Bersalah Terhadap Punca Kematian Teoh Beng Hock