Kerajaan digesa laksana pendaftaran pemilih secara automatik
03/10/2011 6:37pm
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kerajaan sekali lagi digesa untuk melaksanakan proses pendaftaran pemilih secara automatik apabila seseorang warganegara mencapai usia 21 tahun.
Perkara itu sebelum ini telah beberapa kali dibangkitkan pelbagai pihak terutama selepas kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini.
Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, proses pendaftaran secara automatik boleh menjimatkan masa dan wang ringgit kerana parti-parti politik tidak perlu lagi berkempen untuk menarik orang ramai supaya menjadi pengundi, selain pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu turun padang untuk mendaftarkan mereka.
"Buat apa susah payah. Kita boleh buat online... automatik... asalkan warganegara, ada kad pengenalan, terus jadi pengundi. Jangan pula jadikan jawatankuasa ini tidak buat apa-apa,” katanya ketika membahaskan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Bernama
0 Responses to Lepas ni Biro Daftar Pemilih Tak Dak Dah Kot?