Najib mahu Malaysia-Indonesia cari ‘pelesit rosak hubungan dua hala’
October 14, 2011
MELAKA, 14 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu Malaysia dan Indonesia mencari “pelesit” yang cuba merosakkan hubungan mesra dan rapat anatara kedua-dua negara itu.
Sambil menyatakan hubungan baiknya dengan pucuk pimpinan negara jiran itu, Najib berkata kedua-dua negara perlu rapatkan hubungan dan mesti bersatu.
“Rapatkan hubungan, jangan ikut emosi (dengan) kepung kedutaan kita, kita mesti bersatu, apa gunanya kalau ada dalang-dalang yang sanggup merosakkan hubungan yang begitu mesra,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu, Dunia Islam (DMDI) Ke-12 di sini malam tadi.
Najib berkata jika kedua-dua negara saling membantu, beliau yakin hubungan antara Malaysia dan Indonesia dapat dijalinkan dengan lebih erat lagi.
Beliau turut berharap DMDI dapat memainkan peranan membantu menyelesaikan masalah yang timbul melibatkan kedua-dua negara.
Ucapannya merujuk kepada insiden Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menjadi sasaran demonstrasi oleh kumpulan penduduk Indonesia termasuk Laskar Merah Putih berhubung isu sempadan Malaysia-Indonesia.
Isu sempadan itu ditimbulkan Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Tb Hasanuddin, minggu lepas yang mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan dan 800 meter garis pantai di Tanjung Datu kononnya diambil secara haram oleh Malaysia.
Bagaimanapun, empat menteri Indonesia termasuk Menteri Luar Marty Natalegawa dilaporkan menafikan dakwaan itu kerana ia tidak berasas.
Semalam adalah hari kedua berturut-turut demostrasi diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia berhubung itu selepas kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) berbuat demikian kelmarin.
Mengenai DMDI, Perdana Menteri berkata gagasan itu boleh menjadi jalinan kedua bagi mengeratkan lagi hubungan antara negara-negara dalam DMDI terutama hubungan rakyat dengan rakyat.
Bagi mengukuhkan DMDI, Najib meminta pemimpin gagasan itu berusaha meningkatkan pengumpulan dana, kegiatan kebajikan, pendidikan dan ekonomi negara anggota.
Beliau berkata sekiranya mahu terus diagungkan, bangsa Melayu perlu menguasai ilmu terkini termasuk inovasi dan kreativiti yang menjadi penjana kekayaan.
Pada majlis itu, Perdana Menteri melancarkan bank data DMDI dan menyampaikan anugerah tokoh DMDI kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Gabenor Sumatera Selatan Alex Noerdin yang masing-masing dianugerahkan Tun Perak DMDI.
0 Responses to INI PELESITNYA.