Mahkamah Persekutuan Tolak Cubaan Ketiga Anwar Gugurkan Hakim
PUTRAJAYA, 5 Okt – Mahkamah Persekutuan Rabu menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan penolakan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah supaya tidak menjadi hakim perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetuai panel tiga hakim berkata mahkamah tertinggi itu mempersetujui keputusan Mahkamah Rayuan bahawa rayuan Anwar itu tidak boleh dirayu kerana ia perkara dibuat di awal sesuatu perbicaraan yang tidak melupuskan hak perayu.
Zulkefli berkata keputusan dibuat Zabidin itu tidak tertakluk kepada istilah ‘keputusan’ mengikut definisi dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah dan Kehakiman 1964, dengan demikian ia tidak boleh dirayu.
Panel yang dianggotai juga Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng dan Tan Sri Abdull Hamid Embong menolak permohonan Anwar untuk merujuk satu penghakiman Mahkamah Persekutuan mengenai tafsiran perkataan ‘keputusan’ mengikut definisi Seksyen 3.
Mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Anwar, Karpal Singh bahawa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak tidak ada bidang kuasa untuk memasukkan merit rayuan dalam penghakiman bertulis beliau mengenai perkara tersebut.
Karpal berhujah bahawa Abdul Malik sepatutnya tidak memasukkan hal merit rayuan dalam penghakiman bertulis beliau kerana beliau (Abdul Malik) bersama dua hakim rayuan lain telah menolak rayuan Anwar berdasarkan bantahan awal pendakwa mengatakan mahkamah tidak ada bidang kuasa kerana kes itu tidak boleh dirayu.
Karpal menambah bahawa para peguam Anwar dan pihak pendakwaan tidak berhujah berdasarkan merit kepada rayuan.
Dalam keputusan yang sebulat suara, Zulkefli bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan bahawa merit kepada kes itu telah dibincangkan dalam penghakiman semata-mata untuk tujuan melengkapkannya.
Panel Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan bahawa empat paragraf dalam penghakiman Abdul Malik adalah bersifat menyerang dan kenyataan menghina terhadap Anwar dan peguamnya dengan demikian membenarkan permohonan Anwar supaya membuang paragraf berkenaan.
Anwar membuat rayuan terhadap keputusan Zabidin pada 6 Julai tahun ini untuk menolak kali ketiga cubaannya menyekat hakim itu daripada mendengar perbicaraan ke atasnya (Anwar).
Dalam permohonannya, Anwar meminta supaya seorang hakim lain mengadili perbicaraan dengan mendakwa bahawa Mohd Zabidin telah menghakimkan lebih awal kes tersebut di akhir keterangan saksi utama Mohd Saiful Bukhari, sebagai keterangan yang benar.
Anwar, 64, sedang dibicarakan berhubung tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Tuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Karpal berhujah bahawa Abdul Malik tidak sepatutnya menimbangkan merit kepada rayuan itu kerana apabila rayuan telah ditolak, biasanya perkara tersebut berakhir.
Nordin pula berhujah merit bagi rayuan itu terkandung dalam hujah bertulis kedua-dua pihak pendakwa dan pembela dan tidaklah salah untuk Mahkamah Rayuan melihat kepada perkara merit semasa penghakiman – bernama
0 Responses to HARAM PERBUATAN MENGUGUR. TAK FAHAM KE?