Kerusi Pelabuhan Klang dikosongkanuT
SHAH ALAM 19 Jan. - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.Beliau berkata, keputusan yang berkuat kuasa 16 Januari lalu dibuat setelah wakil rakyat itu tidak menghadiri sidang DUN bermula Julai 2010 hingga Januari tahun ini.
Menjelaskan rekod kehadiran wakil rakyat itu, Chang Kim berkata, Badrul Hisham hadir sidang pertama DUN pada 12 hingga 14 April 2010 iaitu sepanjang tiga hari ia berlangsung.
''Sidang kedua DUN pada 12 hingga 15 Julai 2010, beliau tidak hadir selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 Julai.
''Pada sidang ketiga DUN 8 hingga 6 November lalu, beliau tidak hadir langsung tanpa sebarang alasan. Malah, beliau sendiri mengakui tidak hadir dalam sidang berkenaan melalui satu surat bertarikh 10 Disember.
"Dalam surat itu, beliau menyatakan menerima rawatan tradisional di Pahang ketika sidang DUN berlangsung dan saya membalas surat beliau pada 12 Disember dengan memaklumkan bahawa alasan tersebut tidak boleh diterima," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Chang Khim berkata, keputusan mengosongkan kerusi DUN Pelabuhan Klang itu dibuat selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 di bawah Artikel 69 perlembagaan negeri itu.
Kata beliau, artikel tersebut menetapkan bahawa sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada tiap-tiap persidangan selama enam bulan, kerusinya hendaklah diisytiharkan kosong oleh Speaker.
Malah katanya, keputusan itu juga dibacakan bersama dengan Artikel 70 (1) perlembagaan negeri.
Kata beliau, artikel itu menyatakan sultan hendaklah dari semasa ke semasa melalui proklamasi yang disiarkan dalam warta memanggil DUN bermesyuarat dan tidak boleh membiarkan luput enam bulan antara persidangan terakhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan bagi persidangan pertamanya dalam penggal berikutnya.
Ditanya adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diberikan notis mengenai kekosongan kerusi berkenaan, Chang Khim berkata, beliau akan mengemukakan keputusan itu kepada suruhanjaya berkenaan tetapi belum menetapkan tarikh untuk berbuat demikian.
DI PUTRAJAYA, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, suruhanjaya itu akan meneliti secara mendalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebelum membuat keputusan muktamad sama ada berlaku kekosongan di kerusi DUN Pelabuhan Klang.
"Setiap negeri mempunyai Undang-Undang Tubuhnya sendiri. Seperti mana yang berlaku di kerusi DUN Kota Siputeh, Kedah tempoh hari yang diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan ekoran penyandangnya gagal menghadiri dua persidangan dewan, demikian juga di Selangor ini yang kita kena kaji dengan teliti undang-undang negerinya.
"Yang menentukan kekosongan sesuatu kerusi itu adalah SPR dan kita akan pastikan dalam tempoh 60 hari ini perkara ini dibincangkan. Kita masih menunggu surat rasmi Speaker (Chang Khim)," katanya kepada Utusan Malaysia.
0 Responses to Pelabuhan Kelang: SPR belum buat keputusan penyangak politik dah meroyanlompat!