Anwar tak layak desak rakyat hentikan demonstrasi
SHAH ALAM 15 Mac - Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menganggap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk mendesak mahkamah mengambil tindakan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di seluruh negara bagi mendesaknya menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, sebelum ini Anwar adalah individu yang paling lantang kononnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara untuk rakyat di negara ini.
"Bukankah budaya demonstrasi ini diamalkan oleh Anwar sejak beliau menuntut di Universiti Malaya (UM) lagi?" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan peguam Anwar, Karpal Singh yang memohon kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang mengendalikan perbicaraan liwatnya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya mereka yang terlibat dalam demonstrasi berkaitan DNA dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Anwar juga memohon supaya dua media tempatan iaitu akhbar New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia dikenakan tindakan mahkamah kerana menyiarkan laporan tentang demonstrasi itu.
Sementara itu, Hamidzun berkata, sikap berat sebelah yang ditunjukkan Anwar itu membuktikan yang beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Pembangkang di negara ini.
"Apabila terkena batang hidungnya sendiri, beliau dengan angkuhnya memarahi rakyat yang bangkit menentangnya," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, tambah Hamidzun, GAPS bersedia untuk menganjurkan demonstrasi berskala besar untuk terus mendesak Anwar supaya beliau tunduk kepada proses perundangan negara.
____________________________________________________________________________________
300 NGO berhimpun hari ini
PUTRAJAYA 15 Mac – Gabungan NGO Malaysia (GNM) yang mewakili 300 pertubuhan akan mengadakan perhimpunan dan mengeluarkan kenyataan bersama untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) secara sukarela.Setiausaha gabungan itu, Mohd. Jurit Ramli berkata, perhimpunan yang akan diadakan di Hotel Grand Season di ibu negara esok itu bertujuan menegakkan keadilan untuk semua pihak yang terlibat dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu.
‘‘Rakyat Malaysia ingin mendapatkan penjelasan daripada Anwar kenapa masih enggan menyerahkan sampel DNA sekiranya beliau tidak bersalah.
‘‘NGO di Malaysia juga mahu memastikan keadilan ditegakkan untuk semua pihak terutamanya Mohd. Saiful Bukhari, insan kerdil dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Jurit berkata, keengganan Anwar untuk menyerahkan sampel DNA beliau telah memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat dan mengganggu proses siasatan polis pada masa depan.
‘‘Tindakan Anwar itu seakan-akan menampakkan bahawa semua orang yang disiasat polis tidak perlu menyerahkan sampel DNA pada masa depan.
‘‘Keadaan pasti akan menjadi huru-hara apabila penjenayah lain turut mengikuti jejak langkah Anwar untuk tidak menyerahkan sampel DNA,” katanya.
Menurutnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu tidak perlu takut untuk menyerahkan sampel DNA sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.
‘‘Anwar sebagai seorang wakil rakyat harus menjadi contoh baik dan memberi kerjasama dalam proses siasatan sesuatu kes,” katanya.
0 Responses to YO!!! PEOPLES!!!! DOUBLE UP YOUR STRENGTH.